Sunday, February 22, 2009

Buat Kerja


Buat kerja. Moto ini amat sinonim dengan semua orang di Mahkamah. Ianya juga menjadi satu lafaz keramat buat kesatuan. Persoalannya apakah kesatuan ada buat kerja?

Persoalan ini menjadi bualan utama di kalangan ahli-ahli kesatuan. Ramai yang memandang sinis dan memberi kritikan-kritikan seolah-olah kesatuan telah berhenti operasi atau berhenti buat kerja.

Tahun 2008 adalah tahun penuh cabaran untuk kesatuan, ahli MJK dan YDP terutamanya. Perkara utama selain dari 'man power' dalam menggerakkan suatu pertubuhan adalah kewangan. Kita mempunyai satu pasukan yang lengkap dari segi pengalaman dan idea tetapi kekangan utama kita adalah kewangan. Kantong aliran tunai kesatuan berada pada tahap agak kritikal. Kantong aliran tunai ini amat diperlukan kerana kesatuan sentiasa bergerak untuk kebajikan ahlinya. Oleh itu usaha utama yang digerakkan oleh kesatuan adalah mengisi semula dana aliran tunai ini. Beberapa aktiviti dijalankan dengan strategi serampang dua mata.

Aktiviti pertama yang dijalankan adalah mengadakan Majlis Suai-kenal dan Ramah mesra bersama semua jurubahasa-jurubahasa mahkamah di Mahkamah Kuala Lumpur. Ianya telah berlangsung dengan jayanya walaupun sederhana di Kafeteria Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. Aktiviti muhibah ini menjadi pemangkin kepada usaha menambah dana selain dapat beramah mesra. Ini diikuti dengan Majlis Hi-Tea di Plaza Hotel Kuala Lumpur , Jumble Sale di Kompleks Mahkamah KL serta lawatan ke penjara Kajang.

Apakah kesatuan hanya berusaha mencari dana sahaja? Jawapannya tidak kerana usaha memperjuangkan nasib dan kebajikan ahli kesatuan dan seluruh jurubahasa amnya tidak pernah terhenti.

Atas permintaan kesatuan satu perjumpaan rasmi telah diadakan oleh Ahli MJK bersama Dato Ketua Pendaftar. Ianya telah berlangsung pada 27 hb Mac 2008 di Pejabat Ketua Pendaftar, Istana Kehakiman Putrajaya. Dalam perjumpaan tersebut beberapa masalah jurubahasa telah diutarakan kepada Dato Ketua Pendaftar. Pendirian kesatuan adalah tegas dan jelas dalam memperjuangkan ahlinya. Antara syor yang diutarakan dalam usaha menambah baik perkhidmatan ini termasuklah pemberian elaun kot secara automatik setiap 3 tahun, pemansuhan peperiksaan PTK atau paling tidak mengadakan kursus terlebih dahulu sebelum peperiksaan, pengembalian beberapa jenis elaun bahasa (seperti elaun kritikal bagi gred 41), kenaikan elaun Pesuruhjaya Sumpah, kes-kes sebutan sebelah petang di tukar kembali ke sebelah pagi di Mahkamah Rendah KL, hal-hal berkaitan kenaikan pangkat jurubahasa dan banyak lagi. Pejabat Ketua Pendaftar telah bersetuju untuk meneliti secara serius permintaan-permintaan ini, jaminannya usaha penambah-baikkan sedang dalam usaha untuk dijadikan kenyataan.

Usaha Kebajikan ahli tidak terhenti setakat itu sahaja. Kesatuan telah menggunakan pelbagai daya dan usaha supaya diterima menjadi ahli dalam gabungan CUEPACS. Kesatuan percaya dengan bergabung di bawah CUEPACS, suara kesatuan akan menjadi lebih kuat dan lebih keramat. CUEPACS memang dikenali sabagai satu pertubuhan yang sangat berjaya dan serius menangani masalah-masalah ahlinya. Akhirnya lewat 2008 surat persetujuan CUEPACS diterima. Kesatuan akan diterima masuk secara rasmi di dalam gabungan ini setelah beberapa formaliti diselesaikan. Ahli-ahli kesatuan seharusnya bangga kerana anda bukan sahaja menjadi ahli kesatuan jurubahasa sahaja tetapi juga adalah ahli CUEPACS.

Untuk itu kesatuan sedang berusaha untuk memanggil hadir Presiden CUEPACS ke Kompleks Mahkamah KL. Pada hari tersebut kesatuan akan menyerahkan memorandum tuntutan untuk dipanjangkan bersama kepada pihak pengurusan. Deraf memorandum itu akan diterbitkan untuk tatapan semua jurubahasa sedikit masa lagi. Pada peringkat deraf semua jurubahasa dijemput bersama memberi input dan rekomendasi berguna sebelum diserahkan.

Usaha berterusan ini belum membolehkan kesatuan berlapang dada. Kekuatan perlu disatukan untuk memartabatkan lagi profesion ini. Perjalanan masih jauh. Namun perjalanan ini sepi tanpa sokongan dan dokongan semua ahli kesatuan dan semua jurubahasa khususnya. Ayuhlah bersama menyumbang ke arah kesejahteraan bersama. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
-Quttu