Friday, December 23, 2011

SBPA belum muktamad

Hasil pertemuan CUEPACS dengan YAB PM pada 22.12.2011 (turut dihadiri oleh Wakil Kesatuan Jurubahasa & Penterjemah yang merupakan Ahli Kongres Tetap CUEPACS): - YAB PM terkejut apabila diberitahu oleh CUEPACS bahawa CUEPACS langsung tidak dijemput untuk bersama-sama JPA membincangkan dan merangka SBPA. JPA menafikan dakwaan CUEPACS tersebut, menurut wakil JPA, CUEPACS telah bersetuju dengan SBPA. Akan tetapi CUEPACS menegaskan bahawa CUEPACS hanya dipanggil pada sesi taklimat selepas SBPA siap untuk edaran.




CUEPACS menuntut hak rundingan (bargaining power) dalam setiap perkara yang melibatkan perkhidmatan awam. YAB PM bersetuju untuk memberikan kuasa tersebut kepada CUEPACS, hasilnya PM mengatakan bahawa SBPA hanya akan terpakai selepas CUEPACS berpuas hati dengan isi kandungan dan cara pelaksanaannya. PM menggesa pihak JPA dan CUEPACS duduk berunding untuk memantapkan lagi SBPA.




Rundingan perlu dibuat dari peringkat permulaan lagi merangkumi falsafah, tujuan, isi, pelaksanaan dan perkara-perkara lanjutan. JPA menggesa CUEPACS untuk hadir ke JPA pada petang hari ini (22.12.2011) jam 2.00 petang untuk menyelesaikan perkara ini pada hari ini juga. Walaubagaimanapun CUEPACS selepas mesyuarat ringkas / tergempar Kongres yang berlangsung di Rumah KEPERTAMA menolak cadangan JPA. CUEPACS hanya akan berunding dengan JPA selepas Mesyuarat Kongres Penuh yang bakal diadakan pada 27.12.2011.




CUEPACS bercadang untuk merangka SBPA secara sendiri dan akan mengemukakannya kepada JPA. Setelah itu pihak-pihak akan melihat secara terperinci kepada pengisian SBPA kedua-dua versi (versi JPA dan CUEPACS). Akhirnya kedua-dua pihak akan cuba mencari penyelesaian terbaik dan memberikan manfaat kepada semua pihak. Atau dalam kata lain mencari situasi menang-menang. Kepada semua ahli Kesatuan secara khususnya dan semua penjawat awam umunya doakan yang terbaik di dalam perjuangan ini.

Ditulis oleh:
Awais Al Qarni Omar
Setiausaha Kehormat
Kesatuan Jurubahasa dan Penterjemah
Kementerian Kehakiman Malaysia Barat.

No comments: