Sunday, February 12, 2012

Perjumpaan Bersama Jurubahasa-jurubahasa Mahkamah Selangor (2)

Perjumpaan bersama dengan Jurubahasa-jurabahasa Mahkamah Selangor diambil kesempatan penuh oleh YDP dan Setiusaha Kehormat untuk menerangkan beberapa perkara berkenaan kebobrokan SBPA.

Taklimat kebobrokan SBPA diberikan oleh Setiausaha Kehormat Kesatuan, En Awais AlQarni Omar. En Awais sebelum itu membentangkan beberapa tarikh yang menjadi jadual utama sejak mengambil alih Kesatuan pada Oktober 2012.

Menurutnya perjuangan yang lebih utama kini adalah penambah baikkan terhadap SBPA. Untuk itu En Awais telah menghadiri beberapa bengkel serta taklimat SBPA bersama CUEPACS. Tambahnya lagi ahli Kesatuan patut bangga kerana En Awais telah dipilih untuk menganggotai panel membincangkan SBPA dengan lebih mendalam pada 18 dan 19 Mac 2012 ini. Dengan ini Kesatuan dapat terlibat secara langsung dalam penambah baik SBPA.

En Awais sebelum itu memberikan faktor-faktor mengapa SBPA menjadi tentangan utama CUEPACS dan semua ahli gabungannya. Antara yang menjadi isu utama adalah exit policy dan kenaikan/pelarasan gaji serta penjumudan jawatan.

Pada bengkel yang lepas bersama CUEPACS, En Awais turut membentangkan kertas kerja berkenaan multi tasking. Dalam sessi tersebut En Awais telah memberikan contoh Jurubahasa-jurubahasa yang telibat dengan kerja-kerja selain dari tugasan asas jurubahasa iaitu scanning dan data entry untuk unit saman baru. Tugasan berkenaan sebenarnya di luar kepakaran sebenar jurubahasa iaitu menterjemah bahasa di Mahkamah terbuka.

Selain itu pada perjumpaan di Shah Alam En Awais memberikan beberapa cadangan awal CUEPACS terhadap penambah baikan SBPA. Antaranya mengambil kira kekananan, lulus PTK dan yang paling penting adalah cadangan terhadap pelarasan gaji. Terdapat beberapa cadangan dibuat terhadap pelarasan semula gaji dan apa yang diharapkan adalah yang terbaik untuk semua penjawat awam.

Majlis yang dipengerusikan oleh Pn Dijah diteruskan dengan taklimat penambah baikan kualiti hidup dengan sambung belajar. Taklimat diberikan oleh En Jeewananthan dari Nirwana College. En Jeewananthan dalam taklimatnya memberi tawaran yang menurutnya hanya untuk Jurubahasa Mahkamah. Kursus yang ditawarkan oleh Nirwana College ini adalah LLB. (Lond) External Programme.

Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur yang berjaya menganjurkan majlis yang baik ini. Terima kasih juga patut diucapkan kepada Puan Pengarah Mahkamah Selangor yang telah memberikan kebenaran. Kesatuan percaya tanpa kebenaran Puan Pengarah dan tanpa usaha dan niat murni semua, penganjuran majlis ini tidak mungkin boleh berlangsung.



*Majlis Anjuran bersama Ahli MJK Kesatuan sessi 2011-2013 (Pn Rahimah bt Mohd), Wakil Jurubahasa Mahkamah Selangor (En Vijayan) dan Pemegang Amanah Kesatuan Jurubahasa (En Arumugam):- Tahniah dan terima kasih

Saturday, February 11, 2012

Perjumpaan Bersama Jurubahasa-jurubahasa Mahkamah Selangor (1)

10 Februari 2012 - 12.00 tengah hari




Kesatuan amat berbesar hati dapat menghadiri Majlis ini. Ianya telah dihadiri oleh Jurubahasa-jurubahasa dari Mahkamah Shah Alam, Mahkamah Teluk Datuk, Mahkamah Kelang dan Mahkamah Kuala Selangor. Kesatuan diwakili oleh En Azmi Aman (YDP), En Awais Al Qarni Omar (Setiausaha Kehormat), En Muzaffarizzulatif bin Muazan (MJK) dan En Khairil Hamdi Hasbullah (AJK Gala Dinner).

Pada majlis tersebut YDP dan SUK telah diberi peluang untuk membentang aktiviti-aktiviti dan unjuran perjuangan Kesatuan serta perkara-perkara berbangkit dan penuh kontroversi iaitu SBPA.


Perkara pertama yang dibentang oleh YDP adalah penghargaan terhadap sambutan hangat hari Solidariti oleh Mahkamah Selangor. Ianya dikatakan sebagai satu kejayaan besar kerana secara tidak langsung dapat menunjukkan kesatuan ahli-ahli Kesatuan dalam usaha Kesatuan memperjuangkan nasib pekerja (Jurubahasa Mahkamah). YDP juga takjub dengan kreativiti Mahkamah Selangor dan Mahkamah Kelantan dalam menyambut hari tersebut. YDP berjanji tahun ini hari Solidariti akan disambut dengan lebih meriah dan akan sedikit berbeza dari tahun lepas. Bagaimanakah ianya akan berbeza hanya akan diketahui November 2012 nanti.



Selain itu YDP juga memberitahu beberapa perkara yang akan dijalankan pada tahun ini. Antaranya ialah:

A. Riadah:


1. Majlis Makan Malam Gala dan Jasamu dikenang (27/4/2012)


2. Paintball test-run.


3. Permohonan Konvensyen Jurubahasa (Seperti di PD dahulu).


4. Lawatan ke Mahkamah Ipoh dan Trasure Hunt D'Pangkor dan Hari Keluarga.


5. Buku Tahunan Jurubahasa (seperti majalah sekolah).






B. Kebajikan


1. SBPA.


2. Meningkat taraf perkhidmatan dari L17/ L4-1 ke L27/ L3-1.


3. Pohon menjadi mediator pertukaran "suka sama suka".


4. Meningkat elaun-elaun meliputi elaun baju Kot, elaun Mahkamah terbuka, elaun bahasa, elaun kritikal dsb.


5. Mengadakan kursus jangka pendek KPSL.


6. Mempertahan ahli-ahli dari sebarang bentuk penindasan.


Untuk itu YDP meminta semua Jurubahasa menjadi ahli Kesatuan bagi membolehkan Kesatuan terus memperjuangkan hak-hak pekerja (Jurubahasa).


YDP memetik kata Tony Fernandez berkenaan Kesatuan sekerja dari blognya. Menurutnya "anda hanya memerlukan kesatuan sekerja sekiranya pihak pengurusan tidak menjaga kepentingan pekerja". Ianya bermaksud kewujudan Kesatuan sekerja adalah untuk menjaga dan menjamin kepentingan pekerja dan secara tidak langsung menunjukkan kewujudan Kesatuan sekerja adalah kerana pekerja tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang melibatkan kepentingan mereka.



*Majlis Anjuran bersama Ahli MJK Kesatuan sessi 2011-2013 (Pn Rahimah bt Mohd), Wakil Jurubahasa Mahkamah Selangor (En Vijayan) dan Pemegang Amanah Kesatuan Jurubahasa (En Arumugam):- Tahniah dan terima kasih

Friday, December 23, 2011

SBPA : KEPUTUSAN MESYUARAT 23.12.2011 BERSAMA JPA

Ambil perhatian, berikut merupakan keputusan mesyuarat mengenai SBPA antara JPA dan CUEPACS yang diadakan pada 23.12.2011: -

1. Tempoh opsyen SBPA dilanjutkan sehingga 15 Januari 2012;

2. Tempoh opsyen umur persaraan 60 tahun kekal sehingga 30.12.2011;

3. Markah SKT untuk exit policy dikurangkan dari 70% kepada 60%; dan

4. JPA bersetuju untuk menjalankan penstruktutan semula bagi Gred N dan W. Keputusan penuh akan diberikan dalam tempoh masa 3 bulan.

Lain-lain perkara masih di peringkat perbincangan.

Terima kasih.

SBPA - MESYUARAT JPA & CUEPACS 23.12.2011

Sila ambil perhatian.

Hari ini akan diadakan satu mesyuarat antara JPA dan CUEPACS. Agenda mesyuarat pada hari ini bukan untuk membincangkan tentang pelaksanaan SBPA secara menyeluruh. Tetapi HANYA untuk membincangkan mengenai TEMPOH PENANGGUHAN PELAKSANAAN SBPA.

Doakan yang terbaik.

Amin.

Kemusykilan SBPA

Berikut dikemukakan jawapan kepada persoalan yang dapat membantu dalam memilih opsyen SBPA :-

1. Kenaikan tahunan di bawah SBPA.

Bagi skim perkhidmatan dan gred 11 hingga 54 kenaikan gaji tahunan adalah menggunakan jadual gaji yang telah diperuntukkan di bawah SBPA. Kenaikan gaji tahunan ini adalah sepertimana yang diamalkan sekarang. Pergerakan gaji tahunan akan diberikan selepas LNPT pegawai / kakitangan disahkan oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM). Dalam SBPA, markah LNPT 75% ke atas adalah dianggap sebagai menepati sasaran (on target).

Bagi JUSA, Turus dan Premier, pergerakan gaji tahunan berdasarkan pencapaian SKT.


2. Pilihan 60 tahun .

Apabila memilih umur persaraan 60 tahun, dan sekiranya kemudian memilih untuk bersara awal, pencen tuan akan dibayar pada umur 55 tahun (bagi mereka yang dilantik pada atau selepas 12 April 1992) walaupun umur bersara paksa 60 tahun.

Sekiranya dilantik sebelum 12 April 1991, pencen akan dibayar pada umur 50 tahun bagi lelaki dan 45 tahun bagi wanita.

Gantian Cuti Rehat (GCR) dan ganjaran lain akan dibayar pada tarikh bersara.


3. Kelayakan STPM

Syarat lantikan ke jawatan Jurubahasa masih dikekalkan sama. Tiada pekeliling yang membatalkan dikeluarkan setakat ini. Maka pelarasan gaji menggunakan sijil STPM boleh dipohon kepada Pihak Berkuasa Melantik

Bagi pelarasan gaji menggunakan STPM, boleh kemukakan permohonan / rayuan kepada Pihak Berkuasa Melantik (PBT) iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).


* Jawapan Tn HADISARDI BIN JOHARI, Ketua Penolong Pengarah (Seksyen Pembangunan Organisasi) Mahkamah Persekutuan Malaysia terhadap soalan yang dikemukakan oleh YDP. Diharap sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lain bolehlah diemel kepada YDP.

SBPA belum muktamad

Hasil pertemuan CUEPACS dengan YAB PM pada 22.12.2011 (turut dihadiri oleh Wakil Kesatuan Jurubahasa & Penterjemah yang merupakan Ahli Kongres Tetap CUEPACS): - YAB PM terkejut apabila diberitahu oleh CUEPACS bahawa CUEPACS langsung tidak dijemput untuk bersama-sama JPA membincangkan dan merangka SBPA. JPA menafikan dakwaan CUEPACS tersebut, menurut wakil JPA, CUEPACS telah bersetuju dengan SBPA. Akan tetapi CUEPACS menegaskan bahawa CUEPACS hanya dipanggil pada sesi taklimat selepas SBPA siap untuk edaran.




CUEPACS menuntut hak rundingan (bargaining power) dalam setiap perkara yang melibatkan perkhidmatan awam. YAB PM bersetuju untuk memberikan kuasa tersebut kepada CUEPACS, hasilnya PM mengatakan bahawa SBPA hanya akan terpakai selepas CUEPACS berpuas hati dengan isi kandungan dan cara pelaksanaannya. PM menggesa pihak JPA dan CUEPACS duduk berunding untuk memantapkan lagi SBPA.




Rundingan perlu dibuat dari peringkat permulaan lagi merangkumi falsafah, tujuan, isi, pelaksanaan dan perkara-perkara lanjutan. JPA menggesa CUEPACS untuk hadir ke JPA pada petang hari ini (22.12.2011) jam 2.00 petang untuk menyelesaikan perkara ini pada hari ini juga. Walaubagaimanapun CUEPACS selepas mesyuarat ringkas / tergempar Kongres yang berlangsung di Rumah KEPERTAMA menolak cadangan JPA. CUEPACS hanya akan berunding dengan JPA selepas Mesyuarat Kongres Penuh yang bakal diadakan pada 27.12.2011.




CUEPACS bercadang untuk merangka SBPA secara sendiri dan akan mengemukakannya kepada JPA. Setelah itu pihak-pihak akan melihat secara terperinci kepada pengisian SBPA kedua-dua versi (versi JPA dan CUEPACS). Akhirnya kedua-dua pihak akan cuba mencari penyelesaian terbaik dan memberikan manfaat kepada semua pihak. Atau dalam kata lain mencari situasi menang-menang. Kepada semua ahli Kesatuan secara khususnya dan semua penjawat awam umunya doakan yang terbaik di dalam perjuangan ini.

Ditulis oleh:
Awais Al Qarni Omar
Setiausaha Kehormat
Kesatuan Jurubahasa dan Penterjemah
Kementerian Kehakiman Malaysia Barat.

Wednesday, December 21, 2011

Bantahan terhadap SBPA

Kesatuan Jurubahasa Dan Penterjemah
Berikut adalah pendirian CUEPACS terhadap SBPA. CUEPACS membantah pelaksanaan SBPA atas 5 alasan : -

1. 36 Jawatan PREMIER yang dibuka kepada umum. CUEPACS mahukan kesemua jawatan itu kekal diberikan kepada pegawai-pegawai atasan dari Perkhidmatan Awam dan tidak dibuka kepada umum termasuk dari golongan swasta;

2. Exit Policy. Terdapat beberapa perkara di bawah Exit Policy yang tidak dipersetujui oleh CUEPACS. Antaranya kakitangan yang mendapat markah SKT di bawah 70% akan dibuang kerja dan kakitangan yang tiada peluang kenaikkan pangkat akan dibuang kerja sekalipun markah SKTnya 99%;

3. Markah penilaian untuk Exit Policy diturunkan kepada 55% berbanding 70%;

4. SBPA dikatakan dilaksanakan lanjutan dari pembentangan Budget 2012 di mana YAB Perdana Menteri menjanjikan kenaikkan gaji setiap penjawat awam antara 7% hingga 13%. Akan tetapi mengapakah ianya hanya terpakai kepada golongan Pelaksana, sedangkan Pegawai-pegawai Atasan menerima kenaikkan sekurang-kurangnya 36% [Gred 56] hingga hamper 100% [Jusa]. CUEPACS meminta penjelasan terperinci dari JPA mengenai perkara ini; dan

5. Tempoh opsyen yang terlalu singkat iaitu 15 hari. Secara pelaksanaannya ianya tidak sampai pun 15 hari.

Adalah dinasihatkan agar semua penjawat awam termasuk Jurubahasa Mahkamah tidak menandatangani dahulu borang Opsyen sehingga selepas perjumpaan antara ahli kongress CUEPACS bersama Perdana Menteri Malaysia pada 22.12.2011.

Friday, October 28, 2011

MAJLIS JAWATANKUASA KERJA KESATUAN 2011 - 2013

Yang Di-Pertua : Encik Azmi bin Aman

Naib Yang Di-Pertua : Cik Malathi a/p Munisamy

Setiausaha Kehormat : Encik Awais Al-Qarni bin Omar

Penolong Setiausaha : Cik Yogeshpari a/p Krishnan

Bendahari : Puan Parameswari a/p Vellu


Ahli Jawatankuasa:

Puan Bagialachimi a/p Limmuthu

Puan Devaky a/p C. Velu Pillai

Puan Kunaeswary a/p Thambirajah

Puan Rahimah binti Mohd

Puan Zaleha binti Ismail

Encik Muszafarizullatif bin Muaazan




Monday, April 26, 2010

JUTAAN KEMAAFAN!


Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia,
Buat semua pengunjung setia blog rasmi Kesatuan Jurubahasa-jurubahasa dan Penterjemah-penterjemah, Kementerian Kehakiman Malaysia Barat (Kesatuan) ini, terutamanya ahli-ahli Kesatuan yang memberikan sokongan yang sangat jitu terhadap perjuangan Kesatuan, saya menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan dari anda semua kerana telah lama saya tidak mengemaskinikan blog ini. hal ini berlaku di atas beberapa sebab.
Sememangnya hasrat saya untuk mengemaskinikan blog ini dari semasa ke semasa, namun akibat kekangan masa dan beberapa masalah lain, perkara ini tertangguh.
Saya berjanji akan mengemaskinikan blog ini secara lebih kerap berbanding sebelum ini.
Untuk semua ahli-ahli Kesatuan kami di Majlis Jawatankuasa Kerja (MJK) amat memerlukan buah fikiran dan pandangan anda semua dalam usaha memperbaiki usaha kita semua. Anda boleh memberikan pandangan sama ada di blog ini atau menghantar emel anda ke jurubahasa@gmail.com.
Anda juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai Kesatuan di laman sosial facebook Kesatuan. Facebook rasmi Kesatuan juga menggunakan emel yang serupa di atas.
Akhir kata, sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan di atas segala kekurangan dan kelemahan saya.
Saya yang benar,
AWAIS AL-QARNI BIN OMAR
Setiausaha Kehormat
Kesatuan jurubahasa-jurubahasa & Penterjemah-penterjemah
Kementerian Kehakiman malaysia Barat

Tuesday, April 7, 2009

TAKLIMAT TUNTUTAN CUEPACS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua saudara dan saudari rakan-rakan jurubahasa sekalian.


Dimaklumkan bahawa Kesatuan Jurubahasa & Penterjemah, Kementerian Kehakiman Malaysia Barat dengan kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhdmatan Awam (CUEPACS) akan menganjurkan satu Majlis Taklimat Tuntutan CUEPACS. Maklumat mengenai majlis tersebut dalah seperti berikut: -


Tarikh / Hari : 16 April 2009 / Khamis
Masa : 2.30 petang
Tempat : Ruang Legar, Aras 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta
Pengendali : Tuan Haji Omar Bin Haji Osman (Presiden CUEPACS)


Semua rakan-rakan jurubahasa seluruh Malaya dijemput hadir bersama-sama ke majlis ini. Sekiranya ada di antara anda yang mempunyai sebarang pertanyaan sila kemukakan pertanya-pertanyaan anda selewat-lewatnya pada 14 April 2009, kepada Setiausaha Kehormat Kesatuan, Encik Awais Al-Qarni Bin Omar melalui: -


1) Emel jurubahasa@gmail.com
2) Faksimili 03-6209 4095


Kepada rakan-rakan dari luar Kuala Lumpur, dukacita dimaklumkan bahawa Kesatuan tidak dapat memberikan elaun perjalanan kepada anda yang hadir ke majlis berkenaan.


Ini memandangkan kerana Kesatuan memerlukan dana yang besar bagi menjalankan Mesyuarat Agong Dwi Tahunan Kali Ke-11 yang bakal diadakan pada penghujung bulan Julai. Kehadiran anda ke majlis bersama CUEPACS adalah sebagai tanda sokongan padu anda kepada usaha-usaha Kesatuan. Dan majlis berkenaan merupakan satu langkah awal yang positif dalam perjuangan kita semua.


Buat pengetahuan saudara saudari, dana Kesatuan setakat hari ini cuma sekitar RM 7 ribu sahaja. Maka Kesatuan perlu berjimat cermat dan menggunakan dana tersebut dengan berhemah. Sebenarnya dana tersebut berjaya dikumpul oleh Kesatuan dalam masa 2 tahun ini dengan mengadakan beberapa aktiviti. Buat pengetahuan saudara saudari, Kesatuan hanya ditinggalkan dengan wang sejumlah RM 471 sahaja selepas AGM Ke-10 tempoh hari.


Maka kekangan dana yang amat terhad memaksa Kesatuan untuk mencari dana, syukur berkat kesungguhan Ahli-ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Kesatuan, dana tersebut berjaya dinaikkan sehingga RM 7 ribu.


Namun begitu, satu perkara yang amat menyedihkan adalah dana tersebut tidak termasuk kutipan yuran tahunan. Hampir sebahagian besar ahli-ahli Kesatuan berhutang yuran tahunan sehingga 4 tahun. Sehingga kini hanya wakil dari Kelantan, Puan Chan Liok Lam dan wakil dari Putrajaya, Puan Nor Sham Binti Said sahaja yang telah mengutip yuran tahunan secara dedikasi.


Maka saya berharap sokongan padu dari saudara saudari semua untuk menjelaskan yuran tahunan yang tertunggak. Moga langkah Kesatuan akan lebih maju dengan sokongan padu dari rakan-rakan sekalian.


Sekali lagi, JUTAAN TERIMA KASIH.


Seikhlas hati,


AWAIS AL-QARNI BIN OMAR
Setiausaha Kehormat
Kesatuan Jurubahasa & Penterjemah
Kementerian Kehakiman Malaysia Barat